Kek kurma beridentiti Islam
POPULARITI buah kurma terutama ketika bulan Ramadan mencetuskan idea kepada seorang pengusaha kek, Norrizan Alias, 40, untuk menghasilkan resipi kek kurma sebagai juadah yang sesuai dimakan sepanjang tahun.
Sememangnya kurma boleh dipelbagaikan lagi resipinya seperti dibuat kek supaya ia lebih bersifat kontemporari, bernilai komersial dan mampu menjadi kek istimewa untuk umat Islam.
Penghasilannya menggunakan lebih 90 peratus isi buah kurma yang diadun dengan sedikit tepung tanpa sebarang pengawet atau perasa tambahan.
Dengan cara itu, ia tidak menjejaskan khasiat yang terkandung dalam setiap isi kurma sebaliknya sama seperti menikmati sebiji demi sebiji buah kurma.
Menurut Norrizan, dengan menghasilkan kek kurma secara tidak langsung buah yang mempunyai banyak khasiat itu tidak hanya dinikmati pada bulan puasa saja, sebaliknya ia dapat diamalkan sepanjang masa dalam bentuk kek.
“Kita semua sedia maklum bahawa buah kurma memang kaya dengan zat besi, kalsium, fosforus, sodium, potasium, vitamin A dan C, namun kebanyakan kita tidak menjadikan memakan kurma sebagai amalan harian.
“Kini, dengan adanya kek sebegini, ia dapat dijadikan hidangan bukan sahaja ketika musim perayaan tetapi untuk amalan pemakanan seharian sama ada ketika sarapan pagi, minum petang atau sebagai hidangan pencuci mulut selepas makan,” katanya.
Berikutan permintaan tinggi terhadap kek kurma terutama di kalangan umat Islam sepanjang bulan Syawal, Norrizan berusaha mengkomersialkan produk itu dengan nama Kek Tamar Cik Wan selepas berjaya mendapatkan pengiktirafan Logo Halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). [klik di sini]